Thursday, May 17, 2007

Gaza Jadi Zon Perang Pejuang Fatah dan Hamas

GAZA: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas terpaksa turun padang dan berperanan secara langsung bagi menghalang pertempuran sengit antara Fatah dengan Hamas.

Kejadian itu tidak hanya menyaksikan pertumpahan darah buruk dengan 21 kematian kelmarin, tetapi boleh menjerumuskan rakyat Palestin dalam perang saudara serta kemungkinan serangan balas Israel.

Mahmoud dijadualkan melakukan perjalanan dari Tebing Barat ke Gaza lewat semalam, untuk berbincang dengan pemimpin kanan termasuk Perdana Menteri, Ismail Haniyeh yang mewakili Hamas.

Pembantu Mahmoud, Yasser Abed Rabbo, berkata salah satu pilihan Mahmoud adalah mengisytiharkan darurat yang memberinya kuasa melangkaui kerajaan campuran Hamas-Fatah yang dilihat sebagai gagal menangani pertempuran.

Keadaan dilaporkan genting apabila pertempuran berleluasa di Gaza, termasuk tindakan kumpulan yang menutup muka berlari sambil melepaskan tembakan ke arah satu sama lain dan menakutkan penduduk yang terperangkap dalam rumah mereka.

Pertempuran sengit Hamas-Fatah di jalanan juga menyebabkan bandar Gaza yang berpenduduk padat, menjadi zon perang dan menjadikan penduduk ketakutan sebagai mangsa.

Tembakan secara rambang turut merosakkan bangunan pangsapuri selain turut mensasarkan sekumpulan penunjuk perasaan.

Lewat kelmarin, Hamas mengumumkan akan memantau gencatan senjata sebelah pihak dan Mahmoud menggesa pihak berbalah, bertahan.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab juga menggesa semua pihak menghentikan pertempuran itu.

Namun, amaran itu gagal mengekang keadaan apabila dua lagi anggota daripada kumpulan bermusuhan itu, terbunuh sebelum keadaan bertukar sedikit aman pada awal pagi semalam.

Anggota Hamas juga melepaskan tembakan ke arah pengawal rumah pemimpin mereka sendiri, Ismail, tetapi tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa. Kumpulan Hamas kemudiannya menyifatkan kejadian itu satu kesilapan.

Dalam tindakan yang dilihat cubaan mengheret Israel dalam konflik itu, Hamas melancarkan lebih 20 roket ke bandar Yahudi, Sderot kelmarin - hari kedua berturut-turut yang mengundang serangan balas Israel.

Malah rejim Zionis itu melancarkan dua serangan dengan jet pejuangnya membedil kereta didakwa membawa pejuang Palestin, menyebabkan dua maut. Israel turut membedil laman pusat perintah Hamas yang meragut empat nyawa.

Serangan itu menyaksikan pejuang Hamas dan Fatah mengenepikan permusuhan mereka buat seketika apabila bekerjasama mengorek runtuhan markas yang terletak bersebelahan.

Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar, berkata Israel tidak boleh terus bertahan apabila rakyatnya diserang.

“Sehubungan itu, satu serangan balas yang berani akan menyusuli,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Penganalisis Israel tidak menolak kemungkinan rejim Zionis itu merujuk operasi besar-besaran menceroboh Gaza selain serangan kejam mensasarkan skuad pelancar roket Palestin.


– AP (Dipetik dari Berita Harian, 17/05/2007)

No comments: