Thursday, May 17, 2007

Qubbat As-Sakhrah


Qubbat As-Sakhrah (Arab: قبة الصخرة) (Inggeris: Dome of the Rock) ialah antara seni binaan Islam yang tercantik di dunia. Qubbat As-Sakhrah bukanlah sebuah masjid sebaliknya ialah sebuah kompleks yang terdapatnya sebiji batu besar yang dikatakan tempat Nabi Muhammad s.a.w. berdiri ketika peristiwa Israk Mikraj. Qubbat As-Sakhrah terletak di Baitulmuqaddis di kawasan Al Haram Al Sharif. Qubbat As-Sakhrah bukanlah Masjid Al-Aqsa kerana Masjid Al-Aqsa terletak tidak jauh daripada bangunan ini. Qubbat As-Sakhrah seringkali disalahertikan sebagai Masjid Umar yang merupakan tempat Saidina Umar Al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmuqaddis. Berbanding dengan rumah-rumah ibadat yang lain, Qubbat As-Sakhrah yang paling dikenali sebagai simbol Baitulmuqaddis. Hal ini menjadikannya istimewa.

Perlu diingatkan bahawa bukan sahaja Masjid Al-Aqsa yang suci kepada umat Islam tetapi Qubbat As-Sakhrah dan kawasan sekitarnya juga adalah suci kerana ia terdapat di dalam Al Haram Al Sharif. Keseluruhan kawasan Al Haram Al Sharif ini ialah Masjidil Aqsa dan bukannya Masjid Al-Aqsa sahaja kerana bangunan Masjid Al-Aqsa dibina selepas penaklukan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam. Masjid Al-Aqsa hanyalah mengambil sempena nama Masjidil Aqsa di dalam Al Quran.

Sebuah kumpulan radikal Yahudi di Israel ingin memusnahkan Qubbat As-Sakhrah dan bangunan-bangunan lain di Al Haram Al Sharif bagi membina kuil ketiga Yahudi di kawasan terbabit. Sebarang rancangan untuk memusnahkannya atau memindahkannya pasti akan menimbulkan kemarahan umat Islam sehingga boleh membawa kepada konflik dan perperangan.

Sejarah

Qubbat As-Sakhrah, seni binaan agung Islam yang pertama dibina diantara tahun 687 masihi sehingga tahun 691 masihi oleh Khalifah Abdul Malik ibni Marwan, khalifah kerajaan Ummaiyyah. Ia dibina setengah kurun selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.. Pelbagai masalah dan cabaran dihadapi bagi mempertahankan dan mengekalkan dan mengelakkan bangunan ini daripada musnah. Sejarah Qubbat As-Sakhrah boleh difokuskan kepada empat zaman secara keseluruhannya iaitu Zaman Islam, Zaman Perang Salib, Zaman Mandat British dan Zaman Pendudukan Israel.

Peristiwa Israk Mikraj

Pada tahun kesembilan misi Rasulullah s.a.w., lebih kurang tahun 620 masihi, Nabi Muhammad berjaga pada waktu malam untuk melakukan ibadah di Masjidil Haram, Makkah. Selepas beribadat, baginda tertidur seketika dekat Kaabah. Malaikat Jibril datang mengejutkan Rasulullah daripada tidur dan membawa baginda ke hujung Masjidil Haram. Menanti mereka ialah sejenis makhluk yang bernama Al Buraq. Rasulullah kemudiannya menaiki Al Buraq yang kemudian membawa baginda ke Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis dalam sekelip mata.

Apabila tiba di Baitulmuqaddis, Rasulullah turun daripada Al Buraq dan bersembahyang dekat sebuah batu. Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s,Nabi Isa a.s dan nabi-nabi yang lain berkumpul bersama dan bersolat bersama-sama baginda. Nabi Muhammad s.a.w. dipersembahkan semangkuk arak dan semangkuk susu. Rasulullah s.a.w. memilih susu. Malaikat Jibril a.s kemudiannya berkata "Ternyata engkau telah memilih ajaran yang sebenar". Rasulullah kemudiannya naik ke langit untuk menerima perintah menunaikan solat kepada umat Islam.

Peristiwa Penaklukan Baitulmuqaddis oleh Mujahiddin Islam

Pemandangan di dalam Qubbat As-Sakhrah.Pada tahun 638 masihi, selepas beberapa tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., tentera Islam mengepung Baitulmuqaddis. Ketua Gereja Baitulmuqaddis, Sophronius, menyerahkan kota itu selepas kepungan yang singkat. Cuma terdapat satu syarat iaitu perbincangan mengenai penyerahan itu mestilah menerusi Khalifah Saidina Umar Al Khatab sendiri, khalifah kedua Islam.

Saidina Umar memasuki Baitulmuqaddis dengan berjalan. Tidak ada pertumpahan darah dan tidak ada pembunuhan oleh tentera Islam. Sesiapa yang ingin meninggalkan Baitulmuqaddis dengan segala harta benda mereka, dibenarkan berbuat demikian. Sesiapa yang ingin terus tinggal dijamin keselamatan nyawa, harta benda, dan tempat beribadat mereka. Semua ini terkandung dalam Perjanjian Umariyya.

Buat pertama kalinya Baitulmuqaddis terselamat daripada bermandi darah. Mengikut cerita, Saidina Umar kemudiannya menemani Sophronious ke gereja Church of the Holy Sepulchre yang mana Saidina Umar ditawarkan bersolat di dalamnya. Saidina Umar menolak takut akan timbulnya syak wasangka yang dapat menjejaskan penggunaan gereja itu sebagai tempat beribadat penganut Kristian. Saidina Umar sebaliknya menunaikan solat di sebelah selatan gereja tersebut yang kini merupakan tapak Masjid Umar di Baitulmuqaddis.

Saidina Umar kemudiannya meminta supaya dibawa ke tempat Masjidil Aqsa dengan ditemani beratus-ratus orang Islam. Saidina Umar mendapati tempat itu dipenuhi dengan habuk dan sampah sarap. Saidina Umar terus mengarahkan supaya tempat itu dibersihkan dengan serta merta. Sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu kemudiannya didirikan pada masa Saidina Umar di sebelah paling selatan Al Haram Al Sharif.

Pembinaan Qubbat As-Sakhrah

Baitulmuqaddis ialah tempat suci bagi agama Kristian, Yahudi, dan Islam. Selepas kematian Saidina Ali Abi Talib (khalifah terakhir Khulafa al-Rasyidin), menantu dan sepupu kepada Rasulullah s.a.w., adalah di Baitulmuqaddis pemimpin-pemimpin Arab dan Islam bertemu pada tahun 660 untuk memilih khalifah yang baru. Mu'awiyah, pengasas kerajaan Bani Ummaiyyah telah dipilih sebagai khalifah. Beberapa tahun selepas itu, Khalifah Abdul Malik bin Marwan mengarahkan pembinaan Qubbat As-Sakhrah sebagai simbol perpaduan agama Kristian, Yahudi, dan Islam.

Seni Bina

Qubbat As-Sakhrah terkenal dengan keindahan dan kehalusan seni binanya. Kubahnya yang amat terkenal diliputi oleh batu-batu marmar yang mahal dan cantik bagi memperindahkan lagi seni binaannya. Malah ia juga dikategorikan sebagai bangunan warisan dunia PBB. Tetapi sejak akhir-akhir ini ia diancam keretakan kerana kerja-kerja arkeologi oleh arkeologis Israel. Kubah emasnya disalut emas hasil daripada bantuan Arab Saudi.

Kekeliruan Mengenai Qubbat As-Sakhrah @ Dome of The Rock

Qubbat As-Sakhrah seringkali dianggap sebagai Masjid Umar yakni tempat Saidina Umar Al-Khatab bersembahyang ketika ditawarkan bersembahyang di gereja besar Kristian. Anggapan ini salah kerana Qubbat As-Sakhrah dan Masjid Umar ialah dua bangunan yang berbeza.

Qubbat As-Sakhrah juga sentiasa dianggap sebagai Masjid Al-Aqsa. Walaupun Qubbat As-Sakhrah terletak di Al Haram Al Sharif namun ia bukanlah Masjid Al-Aqsa. Masjid Al-Aqsa pula terletak tidak jauh daripada Qubbat As-Sakhrah.

No comments: